Alhamdulillah..dapat juga Zamir
peluang untuk kembali menghidupkan blog yang makin berusang nie..kesian at blog
nie..Maklumlah banyak perkara yang perlu dibuat dibuat dan timbunan assignment
yang perlu disiapkan.. Syukur hari nie ada peluang untuk kembali pada blog
nie.. Hari nie Zamir akan membawa satu tajuk yang lain pada yang lain bagi
Zamir.. Iaitu
‘Kalimah Lailahaillallah’
Makna
la ilaha illallah adalah “tiada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali
Allah S.W.T.”. Ia bukan sekadar menetapkan (ithbat) bahawa Tuhan yang berhak
disembah hanyalah Allah tetapi kalimat ini juga menolak (nafi) segala bentuk
peribadahan selain daripada Allah. Firman-Nya: “Demikian itu adalah kerana
sesungguhnya Allah adalah Tuhan dan sesungguhnya apa yang mereka sembah selain
daripada Allah adalah batil.” – al-Hajj (22) : 62)
Walaupun
kalimat ini bukanlah merupakan sesuatu yang asing bagi seluruh umat Islam namun
tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh-pengaruh amalan syirik masih menebal di
dalam masyarakat ini. Kita masih melihat wujudnya kelompok yang melakukan
ibadah seperti solat atau tawaf di kuburan para nabi mahupun wali Allah malah
kuburan-kuburan tersebut dijadikan perantaraan dalam berdoa untuk sesuatu
hajat. Ada juga yang masih mempercayai ramalan-ramalan tukang ramal dan bomoh
dalam menentukan arah hidup seharian mereka. Masih wujud juga mereka yang
memakai tangkal-tangkal atau mengamalkan jampi-serapah yang syirik bertujuan
untuk mengubati sesuatu penyakit. Terdapat juga kelompok yang menolak
hukum-hukum Allah dan mengutamakan hukum ciptaan manusia dalam mentadbir
sesebuah masyarakat. Hal ini adalah kerana kalimat tauhid tersebut hanyalah
sekadar lafaz dibibir dan tidak dihayati sepenuhnya ke dalam jiwa dan sanubari
seseorang insan. Untuk menjadikan kalimat ini berkesan sehingga mampu membasmi
pengaruh-pengaruh syirik dalam kehidupan seharian hendaklah setiap umat Islam
memahami rukun-rukun serta syarat-syarat yang membelakangi kalimat tersebut.
PERTAMA : Ilmu (al-‘Ilm) atau mengetahui makna
sebenar kalimat tauhid tersebut. Hendaklah setiap insan ketahui bahawa kalimat
ini menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T adalah tuhan yang berhak disembah atau
diibadahi. Seluruh sembahan yang lain adalah tertolak. Faktor ilmu ini amat
penting sebagai syarat agar kalimat ini dapat meninggalkan kesan yang baik bagi
orang yang mengucapkannya. Firman-Nya: “Maka ketahuilah (wahai Muhammad) bahawa
sesungguhnya tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah” – Muhammad
(47) : 19
Baginda juga telah bersabda: “Barangsiapa yang
mati sedangkan dia tahu (berilmu) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah
kecuali Allah, nescaya dia akan masuk syurga.” – Hadis Riwayat Muslim
KEDUA
: Yakin (al-Yaqeen) atau tidak ragu-ragu bahawa Allah S.W.T. adalah
satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Sekadar mengetahui tanpa menyakini
kebenaran kalimah itu adalah tidak memadai untuk mengeluarkan seseorang dari
amalan-amalan yang mencemari akidah. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang
beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian
mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada
jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.” – al-Hujuraat (40) : 15
KETIGA : Ikhlas (al-Ikhlaash) atau memurnikan
segala bentuk ibadah hanya ditujukan kepada Allah S.W.T. dengan tujuan untuk
mencapai keredaannya. Setiap amal ibadah itu hendaklah bebas dari sebarang
unsur syirik dan riak. Firman-Nya: “Dan mereka tidak disuruh melainkan supaya
menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan)
kehidupan beragama dengan jalan yang lurus.” – al-Bayyinah (98) : 5
KEEMPAT
: Jujur (al-Shiddiq) bermaksud hendaklah seseorang itu mengucapkan kalimah
tauhid tersebut dengan sejujurnya. Apa yang dilafazkan melalui lidahnya
hendaklah bertepatan dengan isi hatinya dan kemudiannya diterjemahkan melalui
amalan sehariannya yang menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T. sahaja adalah
Tuhan yang berhak disembah. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidaklah seseorang yang
mengucapkan dua kalimah syahadah dengan benar dari lubuk hatinya melainkan
Allah haramkan dia dari api neraka.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari
KELIMA : Cinta (al-Mahabbah) kepada Allah merupakan
satu bukti menunjukkan seseorang itu telah diresapi dengan fahaman tauhid yang
hakiki. Hendaklah ucapan kalimah tauhid tersebut disertai dengan perasaan cinta
yang mendalam kepada Allah S.W.T yang melebihi daripada cinta seseorang itu
kepada makhluk-makhluk-Nya yang lain. Firman-Nya: “Di antara manusia ada
orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka
mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Tetapi orang-orang yang
beriman sangat cinta kepada Allah.” – al-Baqarah (2) : 165
KEENAM
: Tunduk (al-Inqiyaad) atau patuh terhadap makna kalimat tauhid ini serta
segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya
berlatar-belakangkan kehendak-kehendak kandungan kalimat tersebut. Sejajar
dengan itu hendaklah kita hanya beribadah dan memohon pertolongan hanya kepada
Allah S.W.T. serta mematuhi segala perintah-perintah-Nya. Firman-Nya : “Dan
barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedangkan dia orang yang
berbuat
kebaikan,
maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang teguh.” – Luqman
(31) : 22
KETUJUH : Menerima (al-Qabuul) segala konsep
yang menaungi kalimah tauhid ini iaitu pemurniaan ibadah hanya kepada Allah
S.W.T. dan menolak segala sembahan selain daripada-Nya. Segala bentuk ibadah yang
ditujukan kepada selain daripada Allah S.W.T. atau dilaksanakan tidak menurut
sebagaimana yang dikehendaki oleh-Nya hendaklah ditolak bahkan ditentang
sekeras-kerasnya. Sabda-Nya: “Sesiapa yang mengucapkan La ilaha illallah (tiada
Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) dan mengingkari segala yang
diibadahi selain Allah, maka hartanya dan darahnya diharamkan (dilindungi),
sedangkan perhitungannya menjadi tanggungjawab Allah.” – Hadis riwayat Imam
Muslim
Demikianlah
syarat-syarat yang perlu dipatuhi agar kalimah tauhid dapat difahami dengan
sebenar-benarnya dan dapat menghindari seseorang itu dari dicemari dengan
unsur-unsur syirik dalam kehidupan sehariannya.
1- La
Ilaha Illallah adalah harga Syurga.
2- La
Ilaha Illallah adalah memastikan keampunan.
3- La
Ilaha Illallah adalah kebaikkan terbaik.
4- La
Ilaha Illallah adalah penghapus dosa dan segala kesalahan.
5- La
Ilaha Illallah adalah sebagai memperbaharui iman yang pudar.
6- La
Ilaha Illallah adalah pengangkat hijab sampai kepada Allah SWT.
7- La
Ilaha Illallah adalah zikir yang paling afdhal.
8- La
Ilaha Illallah adalah pendinding daripada syaitan.
9- La Ilaha Illallah adalah penyelamat daripada
neraka.
10- La
Ilaha Illallah adalah penolong.
Kitab
Mukmin Sukses-Pemantapan Jati Diri M/S :
18-22
No comments:
Post a Comment