Assalamualaikum, Zamir
sebenarnya gembira sangat ni semenjak hari tu lagi. Hehehe, Zamir ada kenal
dengan sorang nenek cun ni. Nenek tu baik sangat dengan Zamir la. Hehehe, Zamir
senyum dekat dia hari tu macam ni =)) 0k, kita lupakan. Fuhh, Zamir sebenarnya
baru balik dari teman kakak beli barang. Penat jugak la. Tapi blog ni mesti
diteruskan. Usaha-usaha mesti dilakukan dengan istiqamah dan berterusan. Tadi
Zamir beli laksa,laksa Penang. Boleh la sedap rasa laksa tu. Cakap pasal makan
kan, pernah tak korang makan tapi berhenti sebelum kenyang. Ha! Kalau nak tahu
ikutlah amalan pemakanan Rasullullah SAW. J0m! teruskan membaca.
KITA
berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk
jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan
tertentu.
Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah
tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila
memasuki fasa 40-an.
Tabiat pemakanan yang boleh
diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan
baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan
janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).
Petua menjaga kesihatan cara
Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia
memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja,
tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.
Sebenarnya, menjaga dan mengawal
perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang
berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering
bermadah ‘lapar itu ubat’.
Mengambil makanan dalam kuantiti
banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan
sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.
Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru,
kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari
perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.
Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut
adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua
kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.
Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau
melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau
berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan,
baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi
Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada
kotoran!”
Talbiinah
ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan
tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai
sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi
pencernaan.
Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.
Disiplin pemakanan yang diamalkan
Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu
yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak
penyakit menjadi semakin serius.
Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika
sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al
Anshoriyah, katanya:
“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke
rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami
mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah
mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.
“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.
“Lalu Ali berhenti memakannya.
Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka
berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”
Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar
tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan
atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi
mudarat bagi mereka yang baru sembuh.
Ketika baru pulih daripada sakit,
perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari
dalam perut dan badan.
Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum
kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.
Namun, baginda membenarkan
pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar
menghilangkan keinginan.
Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah
ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya,
baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.
Dari segi komposisi makanan, baginda
tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu
atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin
serentak.
Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat
dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.
Rasulullah tidak mengambil makanan
yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan
awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.
Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat,
walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan
sintetik.
Rasulullah gemar makanan yang
mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil
buah-buahan sebagai makanan tambahan.
Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk
dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.
Madu dicampurkan dengan air dingin
sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem
pencernaan.
Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan
Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi
‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan
telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.
Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan.
Contohnya, baginda melarang
makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan
sambil bersandar.”
Baginda juga melarang minum sambil
berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus
dari segi minuman.
No comments:
Post a Comment