Alhamdulillah, dengan nikmat dan limpah kurnianya dapat la
Zamir meneruskan usaha dalam menyampaikan info serta ilmu-ilmu yang berguna
bagi sesiapa yang membaca blog Zamir, Insya-Allah. Dalam minggu ni memang Zamir
agak sibuk sedikit tapi tak tahu la apa yang sibuk sangat tu. Hehehe =) Zamir
tahu ada orang tengah tersengih-sengih tu bila baca blog ni. Hehehe =) Sory nenek =) Zamir
nak tanya,korang teringin nak khawin tak? Kalau Zamir,sudah tentulah teringin.
Sebab dia, nak meneruskan keturunan. Alhamdulillah, niat yang baik pasti Allah
ada lorongkan jalan. Cakap
pasal khawin,Zamir ada sedikit info untuk muslimin dalam memilih calon isteri
iaitu “Wanita Solehah Pilihan Terbaik Calon Isteri”
RASULULLAH saw bersabda, yang bermaksud: “Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan
paling indah ialah wanita solehah.” (Hadis riwayat Muslim).
Hadis ini menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan
wanita dalam kehidupan global.
Berdasarkan al-Quran, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting.
Pertama, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya
tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.
Kedua, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam
menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan.
Ketiga, wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada
lelaki yang mencari kemesraan dan kebahagiaan hidup.
Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang
yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia.
“Mereka ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan Fatimah binti Muhammad,” (Riwayat Bukhari)
Asiah adalah simbol teladan bagi
wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun
hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.
Maryam pula simbol wanita dalam
ibadatnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu
memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada
Allah.
Khadijah pula simbol
isteri setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan
panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa dan harta bendanya serta rela
menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang
diamanahkan pada bahu Rasulullah.
Fatimah pula adalah simbol pelbagai
dimensi wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat kepada ayahnya; isteri
yang setia kepada suaminya serta ibu yang bijaksana membesarkan putera
puterinya. Malah, dialah panduan segala wanita dan juga seorang wanita mithali
yang wajar dijadikan ikutan Muslimah.
Dalam
memilih pasangan hidup, Islam menganjurkan setiap Muslim yang bakal melangkah
alam perkahwinan agar berhati-hati.
Kriteria kesolehan isteri penting dalam kehidupan berkeluarga
kerana sifat itu, selain dituntut Islam, juga bakal menjamin kerukunan dan
kebahagiaan rumah tangga.
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinsakannya; janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita yang beragama.
“Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu.” (Riwayat Abdullah ibn Humaid).
Jelas di sini, aspek keagamaan dalam diri seseorang calon isteri
adalah penentu hala tuju sesebuah rumah tangga. Ini kerana dengan agama yang
bertapak kukuh dalam jiwanya, dia pasti akan taat kepada suaminya dalam semua
perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak mendatangkan
mudarat kepadanya.
Isteri solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda
suaminya, di samping menjaga maruahnya. Ketika ketiadaan suaminya, seorang
isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh keluar
rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.
Ketaatan dan sifat beramanah seorang
isteri solehah ini banyak dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: “… perempuan yang solehah mestilah taat dan
memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan
Allah…” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)
Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa
menyempurnakan keperluan suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap
masa. Ini kerana keredaan suami menjadi anak kunci utama yang melayakkannya
menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan.
Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan
pengasuh terbaik kepada
anaknya, selain penyejuk hati ibu bapa, biarpun ibu bapanya sudah meninggal
dunia, melalui sedekah doa dan amalan kepada kedua-dua orang tuanya.
Pengetahuan agama dan nilai solehah inilah menjadi ramuan terbaik
yang boleh melenturkan peribadi anak, perhiasan akhlak terpuji, mengisi minda
dan hati anak dengan keimanan dan ketakwaan serta membimbing kehidupan ke arah
keredaan Ilahi.
Sesungguhnya, fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus
sebagai isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga, begitu besar.
Justeru, Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita
solehah yang beriman dan benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai
seorang isteri dan ibu dalam kehidupan sehariannya.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang; yang memelihara kehormatannya; yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya; yang menghormati suaminya; menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta; memelihara diri daripada pandangan orang lain; yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya.
“Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya; serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain.” (Riwayat Al Tausi).
No comments:
Post a Comment