Tiga hari blog ni terbiar je.
Ni pun baru semalam balik dari penang. Atas highway je dah rm136.20. Nak
ikutkan dari penang ke KL,tol baru rm43.30. Minyak pula rm50. Singgah R&R
tak makan pun. Tak tahu la mana pegi lebih-lebih duit tu. Tak mengapalah,
asalkan apa yang kita lakukan itu ikhlas. Cakap pasal ikhlas,korang semua
pernah tak buat sesuatu benda tu seikhlas yang mampu? Hari ni Zamir nak cerita
kisah “SEIKHLAS KELAPA TUA”.
Allah Taala tidak memandang ibadah dan amal yang banyak. Tapi yang
kholisnya. Allah Taala tidak berbangga pengorbanan dan perjuangan yang banyak .
Tapi yang murni lagi ikhlas. Buatlah, walaupun sedikit tapi sempurna dan
ikhlas. Itulah yang Allah redha. Apa erti banyak, tidak sempurna dan tidak
ikhlas. Allah tolak sahaja. Bahkan akan dilempar ke muka kita. Beribadahlah
dengan jiwa yang selamat. Berkorbanlah dengan hati yang murni. Berjuanglah
dengan hati yang ikhlas. Kerana yang menerimanya Allah Taala. Yang akan memberi
pahalanya Dia juga. Bukan manusia. Periksalah hati selalu. Sudahkah selamat,
sudahkah murni, sudahkah ikhlas?
Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.
Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas
pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang
tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar
menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam
tu.
tu.
Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka
gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya
rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga
lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Waduh! Kalau calang-calang
buah, boleh berkecai. Kalau kepala orang, boleh bersepai otak.
Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru
muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyakkoyak dan dibuang sedikit
demi sedikit dengan parang cangkuk.Proses ini bukan sekadar sekali tetak.
Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya.Seksanya
tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan
disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.
Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga
rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang
seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan
sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan
mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih
bersih.
Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap
ini, maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru
permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti.
Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan
isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan
dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di
bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah
isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.
isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.
Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi
parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak
dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia
ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah
menjadi cecair yang putih.
Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah,
rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah
santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar
minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah,
maka orang pun bertanya:
“Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?”
Orang di dapur hanya menjawab, “Gulai ikan bawal.”
Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama.
Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama.
Orang kata, “Oh! Sedap gulai ni.”
“Oh! Sedap ikan bawal ni.”
“Oh! Sedap ikan bawal ni.”
Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan
pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di
atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa
yang ambil kira atau ambil peduli.Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa
seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk
dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk ta’abbud kepada Tuhan. Biarlah
jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Tuhan!
No comments:
Post a Comment